Salam Perjuangan

Tuesday, November 29, 2011

Jangan Buang Abah!

Bismillah...

Assalamu'alaikum...

"Amin berikan tiket ni pada abah, nanti sabtu abah naik bas ke stesen bas ya. Sampai dekat stesen, Amin ambil abah," ujar Amin pada abahnya. Semenjak ibunya sudah tiada, abah yang tinggal di rumah usang di kampung seringkali bertanyakan Amin dan kakaknya, Mina. Rindunya hati tua itu pada anak-anak yang tinggal berjauhan di kota. Abah hanya mengangguk dan mengambil huluran tiket anak lelakinya itu. "Baiklah abah, Amin nak balik ke kota. Assalamu'alaikum."

Langkah anaknya itu diperhatikan dengan pandangan yang sayu. Sudah sekian lama anaknya itu tidak menjenguk. Apatah lagi Mina yang sudah berumahtangga dengan jejaka kota, Haikal. Kali terakhir melihat raut wajah anak perempuannya itu sewaktu pengebumian arwah isterinya 2 tahun yang lalu. Semenjak bergelar isteri kepada Haikal, Mina sudah jarang pulang ke kampung. 

Kelmarin, kerana desakan hati yang terlalu rindukan wajah anak-anaknya, abah menguatkan langkah tuanya ke rumah ketua kampung untuk meminjam telefon. Maklumlah, hidupnya hanya di rumah usang yang sudah mula reput, tiada TV apatah lagi telefon. Kata Mina, "Abah tak perlukan TV. Abah cuma duduk dekat kampung je. Nanti nak bayar bil melambung2 pulak." Abah hanya mengangguk lemah mengiyakan kata2 Mina. Amin pun begitu. 

"Assalamu'alaikum, Mina. Abah rindukan kamu, nak," ujar Abah sayu. "Wa'alaikumussalam. Ha, abah. Abah sihat kan? Hmm...Mina sibuklah. Oklah, abah. Ida menangis tu. Mina nak pergi tengok dia. Bye." Klik! Talian dimatikan. Lagi sekali nombor anaknya itu didail. "Mina...." panggilnya lembut. "Ada apa lagi, abah? Mina sibuk ni," jawab Mina agak kasar. Hampir menitis air mata Abah mendengar nada anaknya itu. "Rumah kita nak dirobohkan minggu depan. Nak bina dewan kat tapak tu. Abah takde tempat nak tinggal, nak." kata-kata Abah mengundang resah di hati Mina. Aduh. Nak bela orang tua ni pulak. "Nanti Mina bincang dengan Amin ya. Oklah, abah. Mina sibuk ni. Bye." Klik. Talian dimatikan. 

Abah betul-betul rindukan kamu. 

****

"Amin, kau bagi tiket ni pada abah. Suruh abah datang ke stesen bas kota. Kau ambil je abah nanti," ujar Mina seraya menghulurkan tiket bas kepada adiknya. "Aku sibuk lah, kak. Kau beli tiket, kau lah pergi jemput," bantah Amin. "Hey, aku lagi sibuk. Pejabat, anak kat rumah tu. Aku yang jaga. Kau pergilah jemput." Mereka menolak tanggungjawab itu sesama sendiri. "Rumah aku sempitlah. Aku kan hidup bujang, dengan member. Mana aku nak letak abah? Bisinglah nanti housemate aku!" Amin sudah mula bising. Mina termenung seketika. Beberapa minit mereka berdua membisu, Mina bersuara. "Ha....apa kata kita buat macam ni..............." 

****

Abah melihat tiket di tangannya. Tiket yang diberikan Amin dua hari yang lalu. Hatinya dipaut gembira untuk melepaskan rindu pada anak-anaknya. Langkah tuanya digagahkan ke stesen bas desa yang terletak setengah kilometer dari rumahnya. Berbekalkan kad pengenalan dan duit belanja RM10 dari Amin, Abah mengharapkan peluh yang menitik menahan pancaran matahari itu berbaloi apabila tiba di kota nanti. Melihat wajah Amin dan Mina cukup untuk membayar setiap kepayahannya ke stesen bas desa dengan hanya berjalan kaki. 

****

"Alhamdulillah. Sampai juga aku di kota. Ya Allah, aku rindukan anak-anakku. Berikan aku peluang menemui mereka. Amin," Abah bermonolog sendirian. Langkahnya dilajukan ke arah pondok telefon berhampiran. Sehelai kertas lusuh yang dilipat kecil dikeluarkan dari poket seluarnya. Di atas kertas itu tertulis nombor telefon Amin yang ditulis anaknya itu sendiri. 

Harap maaf. Nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi. 

Hanya suara operator yang kedengaran. Berkali-kali Abah cuba, namun gagal. Akhirnya Abah melangkahkan kakinya ke arah kerusi panjang berhampiran. Abah penat. Penat kerana sudah uzur, penat kerana hatinya terlalu rindu. Akhirnya Abah terlena. 

Sudah seminggu Abah di situ, menanti seperti lelaki tua yang sedang mengemis. Duit yang dibekalkan Amin sudah habis. Hanya tinggal duit syiling sebanyak 50sen untuk menelefon anaknya itu. Keadaan Abah sudah tidak terurus. Kusut, busuk dan kotor kerana terpaksa tidur di kaki lima stesen bas itu. 

Abah mencuba nasib sekali lagi untuk menelefon Amin. Dengan penuh harapan dan rindu yang memuncak tinggi, nombor Amin didail lemah. Perutnya sesekali berkoroncong kerana sejak semalam tidak berisi. Taliannya ada. Hati Abah melonjak gembira. Tiada lagi suara operator yang menyambutnya. Lama. Kemudian....

Harap maaf. Nombor yang anda dail sedang sibuk.

Hancur luluh hati tuanya. Dia cuba positif. Mungkin anaknya itu sibuk. Abah berehat seketika di pondok telefon itu kerana penat berdiri. Tenaganya sudah lemah. 15 minit kemudian, Abah bangun dan mencuba nasib sekali lagi. Kali ini.......

Harap maaf. Nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi.

Menitis air mata orang tua itu. Siapa dia di hati anak-anaknya? Terasa dirinya dibuang begitu saja. Tidak dihiraukan. Deras air matanya mengalir. Seminggu cuba menghubungi dan menanti susuk tubuh anaknya hadir menjemput dirinya. Hampa! Seminggu bersejuk di atas lantai kaki lima menanti anaknya, berkecai!

Malam ini, Abah tidur memeluk beg bajunya kerana kesejukan. Abah sekali lagi tidur beralaskan kain pelikatnya di kaki lima. Air matanya mengalir perlahan membasahi pipi. Merindui anak yang ditatang bagaikan minyak yang penuh suatu ketika dahulu. Sekali lagi Abah tidur berendam air mata. Wajah arwah isterinya bersilih ganti dengan wajah Amin dan Mina. 

"Amin.... Amin datang, nak? Abah rindukan kamu. Abah rindu sangat-sangat dengan Amin dan Mina. Amin, datang jugak akhirnya. Abah rindukan Amin," susuk tubuh pemuda yang baru sahaja mengejutkannya dari tidur dipeluk erat. "Pakcik...pakcik. Maaf, saya bukan Amin," ujar pemuda itu lembut. Pelukan dileraikan Abah segera. "Kamu siapa? Tadi pakcik nampak anak pakcik, Amin. Dia yang kejutkan pakcik." Menitis air mata Abah saat menyedari yang dipeluknya tadi bukanlah Amin yang ditunggu. Barulah Abah tersedar. Dia bermimpi semalam tidur di rumah Amin dan dikejutkan Amin. Indah sungguh mimpi itu bagi Abah. Semakin deras air matanya mengalir. 

Bahu Abah disentuh lembut. "Pakcik, kat sini sejuk nak tidur. Pakcik dah seminggu di sini ya? Mesti pakcik lapar kan? Mari ikut saya. Kita pergi makan." pemuda itu tidak sampai hati untuk memberitahu bahawa dia adalah pegawai Rumah Warga Emas. Dia mendapat panggilan dari salah seorang pekedai di stesen itu tentang seorang lelaki tua yang tidur dan berkeliaran di situ selama seminggu. 

Abah menolak pelawaan pemuda itu dengan lembut. Pemuda tersebut berusaha memujuk hinggalah kedengaran perut Abah berkeroncong. Saat itu, air mata Abah sudah tidak tertanggung lagi. Tubuhnya sudah terasa sangat lemah. Dan akhirnya Abah tidak sedarkan diri. 

****

"Aku dekat mana ni?" soal Abah kasar saat tersedar dari lenanya. "Pakcik di Rumah." jawab pegawai muda itu sayup. "Mana Amin? Aku tunggu Amin. Nanti kalau aku takde dekat sana, Amin tercari-cari aku pulak. Hantar aku ke stesen bas kota sekarang! Dia dah bagi aku tiket suruh aku ke kota untuk jumpa aku! Aku nak jumpa anak-anak aku!!" Abah meronta-ronta untuk keluar dari bilik itu. "Pakcik....." pegawai itu memanggil dan menahan lelaki tua itu dari meronta. Tiba-tiba Abah pengsan sekali lagi. 

Anakku. Tergamak kau meninggalkan aku di situ menanti dirimu yang tidak kunjung tiba. Anakku, siapakah aku di hatimu? Aku merindukan anak-anakku. Aku menanti dan mencari-cari susuk tubuhmu menjemputku. Seminggu aku menantikanmu, anakku. Siapa aku di hatimu? Abah rindukan Amin... Abah rindukan Mina!

Malam itu Abah tidur berendamkan air mata. Tubuhnya terasa sangat lemah. Lemah untuk terus bergerak dan menghirup udara di dunia ini lagi. Hatinya sudah hancur luluh. Sudah berkecai dihempas Amin dan Mina. 

"Innailillahiwainnailaihiroji'un..."

****

"Encik Amin, Puan Mina. Siapa yang berikan tiket bas kepada Pakcik Yusof?" soal salah seorang pegawai Rumah Warga Emas setelah dapat mengesan waris Abah. Sehari selepas Abah dikebumikan, Amin dan Mina dipanggil ke rumah itu. 

Amin memandang Mina, Mina pula memandang Amin. Akhirnya dua-dua tidak mengaku. "Mana ada, encik. Kitorang tak bagi pun tiket tu. Abah tak bagitau pun nak datang. Manalah kitorang tahu dia nak ke kota." jawab Mina kasar. Pegawai itu hanya menggeleng. Sampai begitu sekali tergamak seorang anak membuat bapanya seperti tiada erti dalam hidup mereka.

Tergamak kau ucapkan begitu, Mina. Abah cuma mahu melepaskan rindu menemui kalian. Ini yang kalian balas. Mungkin rindu abah tiada nilai buat kalian. Abah rindu kalian....abah rindu sangat.... Jangan buang abah dari hatimu, nak....! Jangan buang abah!! Abah rindukan anak-anak abah! Amin... Mina... Terima kasih, nak.... 



Gambar Hiasan



( Cerpen ini ditulis berdasarkan kisah yang pernah terjadi. Dan kejadian ini semakin berleluasa. Soal diri anda, di mana nilai rindu seorang ibu, di mana nilai rindu seorang bapa ?)




No comments:

Post a Comment