Salam Perjuangan

Tuesday, November 9, 2010

Mujahadah? Bukan Mudah Tetapi Itulah Bahagia!

Assalamu'alaikum...

Bismillah...

Mujahadah? Ya, bukan mudah untuk terus berdiri dalam perjuangan ini. Bila diri dan hati terus-terusan diuji. Diuji keimanan ini. Diuji cinta ini padaNya. Lebih-lebih lagi bagi hamba seperti saya, yang dalam proses penghijrahan ke arah muslimah sejati. Mudah lidah membilang cinta padaNya, dan berimankah diri seandainya tak diuji. Bila hati ingin terus menyintai ALLAH, tekad mula dipasang mencari redhaNya, saat itu ALLAH menguji cinta ini dengan pelbagai cara. Ya, adakalanya Dia akan hadirkan dan temukan kita dengan seorang insan yang bernama lelaki (bagi muslimah) atau perempuan (bagi muslimin) untuk diuji sejauh mana cinta kita padaNya. 


Hijrah ini keranaNya. Cinta ini keranaNya. Saya diuji bila saya ditemukan dengan seorang insan bernama muslimin dan saya diuji dengan tohmahan dari insan yang paling rapat mengenai perubahan diri. Hati didatangi perasaan halus menyayangi insan yang tidak halal buat diri. Perasaan merindu tak dapat disangkal. Ingatan padanya tak pernah padam dan menghilang. Saat itu tangisan jadi peneman. Bukan mudah menahan hati. Pedih, perit, sakit, tertekan, gelisah dan risau bila hati tidak tetap pada ALLAH SWT semata-mata. Ya, saat itu air mata jadi peneman. Rasa bersalah pada ALLAH dan takut kehilangan cintaNya menyelubungi segenap hati dan perasaan. Hadir malam memberi ruang merintih minta dibelas kasihan olehNya. Tangisan taubat dan cinta padaNya menjadi peneman. Bukan mudah perjuangan ini. Tapi itulah kemanisan yang bakal dikecapi di akhirat kelak bila semakin hampir padaNya dengan ujian itu. 

Tohmahan dari insan yang terdekat. Mungkin sebenarnya nak kata tohmahan bukan, tapi lebih kepada pertikaian. Oh, manusia! Mengapa harus fikiran kalian begitu? Bukankah kalian sendiri beragama Islam yang berpegang pada keyakinan dan kepercayaan kepada ALLAH? Saya berpakaian begini, bertudung labuh (mini telekung) dan berbaju kurung pada kebanyakan masa, apa yang dibimbangkan diri ini ditindas bakal suami atau sukar mendapat kerja? Berkenaan suami menindas isteri yang bertudung labuh dan sukar dibawa ke mana-mana tempat dengan berpakaian begini, saya rasa pendapat ini sangat salah. ALLAH Maha Pengasih, ALLAH Maha Penyayang, Dia takkan menganiaya atau membalasi setiap kebaikan yang hamba-hambaNya lakukan dengan keburukan. Dia lebih mengetahui. Nasihat kawan, (mantap betul jawapan dia), "kalau abg nak masuk neraka suruh saya pakai baju yang tak sepatutnya, buatlah.". Ya, ada benarnya. Lagipun, muslimah yang bertudung labuh dan berakhlak serta amalan yang baik pasti akan disunting oleh muslimin yang soleh. Klik di sini untuk lagi satu artikel mengenai kehebatan tudung labuh. 

Berkenaan peluang pekerjaan pula, usah risau. Rezeki ALLAH terbentang luas buat hamba-hambaNya yang yakin padaNya dan beramal soleh. Yakinlah padaNya, insyaALLAH di mana sekalipun kaki ini berpijak, disitulah rezeki tetap ada. Berimanlah padaNya, insyaALLAH dipermudahkan segalanya. Usah gentar, usah risau. Sekalipun di akhir dunia, pembelaan ALLAH buat hamba-hambaNya yang soleh tetap ada bersama. ALLAH Maha Pengasih. ALLAH Maha Penyayang. Yakinlah pada sifat keperkasaanNya. Dia lah Pemilik dunia dan akhirat, Pemilik sekalian alam. Pencipta Yang Maha Agung. 

Bersyukurlah jika diuji
Mulanya hati ini tiba-tiba kosong bila dipertikaikan begitu. Hati terguris bila tak disokong untuk berubah pada yang lebih baik. Jiwa terseksa, hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui. Tiba-tiba hilang arah bila dipertikaikan sebegitu rupa. Dituduh berubah kerana pengaruh politik!! Ya ALLAH. Berdesup jantung bila dipersoalkan niat ini untuk berubah. Mulanya...."Ya ALLAH! Susahnya aku nak berubah! Salahkah aku berubah?? Apa salahku??" Ya, disebabkan ucapan hati itu diri ini menjadi "lost" buat beberapa ketika. Iman terasa merajuk dari hati. Menjauh dari hati. Nikmat iman terasa hilang seketika. Astaghfirullah. Sewajarnya diri ini bersyukur diuji bukannya merungut begitu. Akhirnya air mata sekali lagi menjadi peneman setia. Memohon ampun di atas keterlanjuran kata hati. Berkenaan berubah kerana politik, tanyalah iman kita. Apakah selama ini kita mengaplikasikan Islam dalam politik atau mengaplikasikan politik dalam Islam? Untuk mengetahui dan membuka minda mengenai politik, kita sepatutnya memahami Islam terlebih dahulu. Nak faham Islam, jadilah orang-orang yang beriman. Fahami Islam dengan iman bukan dengan nafsu!

Di sini, soal lah hati kita. Bersediakan iman kita untuk diuji? Seberapa kerap kita mengingatiNya berbanding hal lain? Seberapa jauh kita yakin dengan janjiNya? 

Yakinlah, setiap perubahan ada ujiannya. Setiap cinta ada ujiannya. Setiap pengorbanan keranaNya ada ganjarannya. Yakinlah dalam setiap langkah menuju redha dan cintaNya, insyaALLAH Dia sentiasa menemani langkah kita. ALLAH Maha Pengasih. InsyaALLAH. You'll find the way. 

Andai ada kesilapan yang menyinggung mana-mana pihak, moga dimaafkan dan tegurlah di mana silapnya.

Salam mujahadah. 

Wassalamun'alaik.

No comments:

Post a Comment